Orang Bunian ialah sebarang makhluk halus dari golongan jin dalam legenda Melayu, mirip dengan elf dalam legenda Eropah. Mereka dikatakan wujud dalam masyarakat besar, menyerupai struktur sosial manusia, mempunyai keluarga, puak, dan struktur masyarakat. Orang Bunian dikatakan mendiami kawasan hutan belantara, jauh dari perhubungan manusia, tetapi ada juga yang tinggal berdekatan dengan manusia malah berkongsi rumah dengan keluarga manusia. Sesetengah masalah kerasukan dikatakan berpunca dari orang bunian.
Orang bunian mempunyai kuasa luar biasa yang hebat, dan juga diketahui berkawan dan menolong manusia, terutamanya pawang atau bomoh. Orang bunian dikatakan menculik kanak-kanak, dan bayi di dalam perut wanita dan ada dituduh menyebabkan manusia sesat di dalam hutan. Terdapat beberapa pendapat mengenai asal-usul orang bunian, antaranya adalah mereka adalah dari keturunan jin. Pendapat kedua menyatakan mereka adalah hasil perkahwinan antara manusia dengan jin.
Kategori
- Alam : Alam ghaib
- Berbentuk fizikal : Ya
- Mampu berubah bentuk : Tidak
- Mampu menyerupai manusia : Bentuk asal menyerupai manusia
- Menghisap darah : Tidak
- Dipelihara : Tidak
- Bermasyarakat : Ya
- Gambaran : Sejenis makhluk halus umumnya tinggal di hutan belantara dan juga dengan manusia berbentuk manusia.
Oleh kerana orang bunian mirip dengan manusia (kecuali berasaskan fakta mereka biasanya ghaib atau halimunan) tidaklah menghairankan untuk mereka berkahwin dengan manusia. Malah ada pendapat yang mengusulkan bahawa bunian ini adalah hasil gabungan hubungan manusia dan jin. Bagaimanapun, ada juga yang mempertikaikannya kerana perbezaan bagi manusia (berasal dari unsur tanah) dan bunian (berasal dari unsur api).
Terdapat cerita mengenai seorang lelaki yang mengahwini orang bunian, tetapi ingin kembali ke keluarga mereka yang telah ditinggalkan, memutuskan untuk meninggalkan orang bunian. Waktu pulang mereka ke golongan manusia, mereka mendapati bahawa setiap orang yang mereka kenal telah meninggal dunia, dan beberapa tahun sudah berlalu. Cerita ini pernah disebutkan dalam cerita dongeng Amerika iaitu Rip Van Winkle. Perkara tersebut menyerupai teori kerelatifan masa.
Punca : Wikipedia.